Monday, 24 December 2012

Isi tempat kosong dalam ayat-ayat di bawah dengan jawapan yang paling sesuai.
Latihan kata kerja…


1 Amir ________kesakitan apabila doktor mencuci lukanya.
A merintih B mengeluh C mengenang D mengerang

2 Badan Nabilah__________kerana ketakutan.
A menggeliat B menggeletar C menggelupur D menggelepar

3 Pengemis itu ___________oleh pekerja restoran tersebut.
A dihalang B dibuang C dihalau D ditindas

4 Mak Cik Hasnah sedang ___________bawang di dapur.
A menumbuk B mengetuk C memukul D memalu

5 Ibu ____________kelapa untuk mendapatkan santannya.
A memicit B melenyek C memerah D menindih

6 Anak ayam lari bertempiaran apabila seekor helang cuba ____________.
A merenggut B menyambar C merampas D mengambil

7 Persatuan Seni Lukis Sekolah Kebangsaan Seri Langkap akan ______pameran lukisan.
A melaksanakan B menjalankan C mengadakan D melahirkan

8 Kampung Berlian dan Kampung Permata _________oleh sebatang sungai.
A terbelah B terpisah C terpecah D terbahagi

9 Ular sawa itu __________ seekor kambing.
A melulur B meneguk C mengunyah D menghisap

10 Sebelum sesuatu aktiviti dijalankan kita perlulah _________nya terlebih dahulu.
A merancang B menimbang C melaksana D melihat

11 Lilian ....buku cerita yang dipinjamnya kepada Tan.
A memberikan B menyerahkan
C memulangkan D menghulurkan

12 Peniaga itu ......keuntungan dengan mengenakan harga jualan yang tinggi kepada pelanggan-pelanggannya.
A meraih B mencapai
C mengumpul D mengais

13 Mulut adik .....semasa mendengar cerita yang disampaikan oleh nenek.
A tertutup B tersengih C terlopong D terkatup

14 Fauzan .....kedatangan Encik Azam ke rumahnya dengan ramah.
A menunggu B menyambut C mengajak D menanti

15 Banduan itu terpaksa .....di penjara selama lima tahun akibat kesalahan mencuri.
A menetap B menginap C meringkuk D menumpang

16 Syarikat Tonggak Maju mampu.....projek kerajaan yang menelan belanja berjuta-juta ringgit.
A menganjurkan B melaksanakan C meningkatkan D mengadakan

17 Adik .....kerana memakai kasut tumit tinggi ibu.
A terjatuh B tertimpa C terhantuk D terhempas

18 Elina .....perca-perca kain itu pada selimut yang koyak.
A melekatkan B menampalkan C mencantumkan D meletakkan

19 Sang Kancil yang cerdik itu berjaya ......sungai yang dalam dengan tipu helahnya.
A melepasi B melangkahi C mengharungi D menyeberangi

20 Lidahnya melecur kerana .....air yang masih panas itu.
A terhisap B tertelan C tersedut D terhirup


21 Bekalan air di kawasan kami sering___________ .
A terkandas B terganggu C terpotong D terhalang

22 Chong Ming __________ sebaik-baik sahaja dia terjaga daripada tidur.
A mendengkur B mendepang C menggeliat D menganga

23 Murid-murid Tahun Enam Mawar ketawa berdekah-dekah apabila mendengar celoteh
guru kelas mereka yang __________ hati.
A menggeletek B menyentuh C menggores D mencuit

24 Setelah menanak nasi, ibu ________ ikan senangin untuk dimasak kari.
A menghiris B menyiang C mencincang D menyiat

25 Kenny jatuh terduduk apabila __________ kulit pisang.
A terpijak B terpegang C tersentuh D terlangkah

26Anggota polis trafik akan ___________ pemandu yang melanggar undang-undang jalan raya.
A mendenda B memarahi C menyaman D menasihati

27Pak Long Ahmad tidak berselera ___________ nasi walaupun sesuap kerana dia demam.
A menjamah B menyuap C mencubit D menelan

28 Penunggang motosikal itu telah _________ rantai leher wanita itu.
A menyinggung B menyambar C merenggut D merampas

29 Hasil eksperimen itu akan _________ dalam kumpulan masing-masing terlebih dahulu
sebelum diserahkan kepada beliau.
A diumumkan B dinyatakan
C dibahaskan D dibincangkan

30 Rosman __________ jalanya ke dalam anak sungai itu.
A membalingkan B melemparkan
C menebarkan D mencampakkan

31 Puan Sarifah _____air mawar di pusara suaminya yang terkorban akibat kemalangan jalan raya.
A merenjis B menyiram C menyimbah D menuangkan

32 Laksamana Hang Tuah ________perut pahlawan Majapahit itu dengan sebilah keris.
A menjolok B mencocok C mencucuk D merodok

33 Alia duduk ___________dengan santunnya sambil melayan tetamunya.
A bersila B berlunjur C bersimpuh D bertinggung

34 Cucu Pak Leman _____________ kaki datuk mereka yang lenguh-lenguh itu.
A memicit-micit B menekan-nekan
C menepuk-nepuk D menggenggam-genggam

35 Ibu bapa perlu _________anak-anak mereka supaya berjaya dalam hidup.
A membimbing B memandu C mengajar D mengawasi

36 Puan Leong ________kejadian kecurian di rumahnya kepada kawan-kawannya.
A menceritakan B mengadu C meracau D meleter

37 Tukang kayu itu sedang ________mata gergaji dengan pengikir.
A mengikis B mengikir C mengasah D mengilat

38 Hati Puteri Nur Ashikin _____apabila mendengar kisah sedih yang menimpa pemuda malang itu.
A terdiam B tercalar C tersayat D tersentuh

39 Kita perlu berusaha gigih sejak dari awal tahun lagi untuk _________keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR.
A memiliki B mendapati C mempunyai D memperoleh

40 Pendekar Harimau Berantai __________sebilah keris pada pinggangnya.
A melekat B menyisip C membubuh D menyangkut



41Sebagai pengurus syarikat, Puan Nelly sentiasa __________ pakaian yang kemas dan berjenama untuk __________ imejnya
A melaram ... mengekalkan B menyarung ... melonjakkan
C memakai ... menghangatkan D menampilkan ... menaikkan

42 Kak Wan mengeluarkan pai ayam yang telah _________ nya dari ketuhar.
A dibakar B disalai C didiang D dikukus

43 Normila menjerit ketakutan apabila terlihat seekor lipan sedang __________ di atas tilam.
A merayap B menjalar C memanjat D menyelinap

44Jabatan Meteorologi ___________ bahawa hujan lebat akan melanda
kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia.
A memaklumkan B memberitahu C meramalkan D melaporkan

45Semua murid di dalam kelas Enam Bestari __________ untuk mendapat 5A
dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah.
A berebut B bersaing C berjuang D berlawan

46Syarikat Seri Maju berhasrat untuk meneruskan pembinaan projek perumahan yang ______ itu.
A terhenti B terbantut
C terkandas D terbengkalai

47 Hafizi __________ badan adiknya sehingga dia ketawa terbahak-bahak.
A menggeletek B menggeletar C menggelepar D menggeliat

48 Adunan gula dan mentega itu __________ setelah dipukul dengan alat pemukul elektrik.
A mengembang B menguncup C menebal D menipis

49 Cikgu memarahinya kerana ____________ dinding tandas itu.
A menconteng B mengelap C menyapu D mencalit

50Kerajaan Terengganu menjadikan aktiviti ___________ sotong sebagai salah
satu aktiviti yang dapat menarik pelancong asing.
A menjala B memukat C mencandat D memancing

Tuesday, 11 December 2012

Ayahanda Tercinta

Ketika kejauhan
masihku hangat kasihmu ayah
betapaku rindukan redup wajahmu
hadir menemaniku

Terbayang ketenangan
yang selalu kau pemerkan
bagaikan tiada keresahan

Walau hatimu sering terluka
tika diriku terlanjur kata
tak pernah sekali kau tinggalkan
diriku sendirian

Ketikaku dalam kedukaan
kau mendakap penuh pengertian
disaat diriku kehampaan
kau setia mengajarku
erti kekuatan

Terpancar kebanggaan
dalam senyummu
melihatku berjaya
bilaku kegagalan
tak kau biarkan
aku terus kecewa
dengan kata azimat
engkau nyalakan semangat
restu dan doa kau iringkan

Tak dapatku bayangkan
hidupku ayah
tanpa engkau disisi
semua kasih sayang
yang kau curahkan
tersemat dihati.....
Sajak Untuk Ibu

Siapalah daku tanpa dirimu
Walaupun kau sering memarahiku
Daku tidak pernah kecewa
Kata-katamu bak mutiara
Kerana ku tahu disebalik kekatamu itu
Terselindung secebis kasih seorang Ibu terhadap anaknya...
ku pasti setiap nasihat itu adalah untuk
kebaikan diriku...
Mengajarku erti sebuah kehidupan

Ibu….
Daku telah banyak berdosa kepadamu
Dapatkah daku membalas jasa baktimu
Yang laksana pepasir di pantai
Yang telah menyabung nyawa demi melahirkan diriku
Yang tidak jemu-jemu mendengar tangisanku semasa kecil
Dan menatap wajahku yang hina ini...

Sempena Hari Ibu
Daku berdoa ke atas kesejahteraan dirimu
Agar dipanjangkan umur dan sentiasa bahagia
Disamping keluarga tercinta...
Guru

Diwaktu hati mu retak
Matamu menceritakan duka
Terkumpul dalam sebuah nestapa
Betapa payah menghulurkan madah
Terkadang ada nista yang menerjah
Pawana hati mu tetap tegar
Memahatkan ilmu tanpa sempadan
Suaramu kaku, namun semangatmu bak srikandi
Langkahmu longlai pun hasratmu tidak pernah pudar
Pada kanvas kehidupan yang penuh pancoraba
Kau pahatkan tekad
Buat bekalan generasi mudamu
Kau tinggalkan satu firasat
Dalam duka yang tidak pudar
Untuk sebuah harapan
Buat anak bangsamu
Kerana itu yg telah diamanahkan

Panduan Karangan (Penulisan ) Sekolah Rendah

Di sini saya ingin kongsikan email yang diterima oleh saya daripada seseorang yang menceritakan pengalaman beliau mengajar karangan di sekolah rendah untuk panduan guru-guru sekelian:




Secebis Kisah Pengajaran Karangan di Sekolah Rendah
Oleh Mohd Isa Abd Razak

Seorang guru Bahasa Melayu baru bertukar ke sekolah baharu. Dia berhadapan dengan beberapa orang murid tahun lima yang masih belum mampu menghasilkan karangan yang baik. Walaupun masa untuk menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) hampir dua tahun lagi, guru itu tetap risau akan keadaan murid-muridnya. Dia mahu membantu murid-murid itu mulai awal tahun ini juga. Dia meminta pandangan saya.

Langkah pertama yang perlu cikgu lakukan ialah meneliti profil murid. Kenali setiap murid dari pelbagai sudut, khususnya prestasi pembelajaran mereka. Kemudian, berbincanglah dengan guru yang mengajarkan karangan kepada mereka pada tahun-tahun sebelumnya. Cikgu mungkin memperoleh banyak maklumat daripada guru-guru yang berkenaan.

Selain itu, adakan juga perbincangan dengan murid-murid agar cikgu dapat meneroka kekangan yang mereka hadapi daripada mulut mereka sendiri. Setelah itu dan setelah melakukan beberapa tindakan yang lain, barulah cikgu dapat melakukan tindakan pembetulan dan penambahbaikan. Tegasnya, penyelesaian masalah hendaklah berdasarkan dapatan penyelidikan dan analisis data.

Dari segi pedagogi, sebelum mengarang murid mesti menguasai aspek tulisan mekanis . Aspek itu ialah kemahiran menulis huruf, suku kata dan perkataan. Hal ini dapat dilihat dari berbagai-bagai sudut. Antaranya termasuklah ketepatan bentuk, jarak, tekanan, kecondongan, kekemasan dan kepantasan. Aspek mekanis yang lain ialah kemahiran menggunakan huruf kecil, huruf besar dan tanda baca.

Cikgu sedia maklum bahawa antara tugas guru Bahasa Melayu termasuklah mengendalikan pemulihan ringan, iaitu pemulihan dalam bilik darjah biasa. Dapatan penyelidikan dan analisis data pasti membantu cikgu membuat keputusan sama ada murid-murid itu masih perlu menjalani pemulihan tulisan mekanis atau tidak.

Aspek penguasaan ejaan dan kosa kata amat penting. Jikalau kita mengabaikan aspek ini, karangan murid mungkin kurang bermutu atau "buruk" seperti karangan tentang "datuk saya" yang menjadi bahan lelucon dalam Facebook. Sayang, masyarakat kita lebih berminat menjadikan kelemahan orang sebagai bahan lelucon dan bukannya bahan analisis untuk melakukan pembetulan dan penambahbaikan. Saya yakin, cikgu tidak tergolong dalam kategori orang awam itu. Analisislah karangan murid-murid cikgu. Kemudian, rancang dan laksanakanlah aktiviti yang membolehkan murid-murid itu mengatasi kelemahan mereka dari segi ejaan dan kosa kata.

Guru yang baik mengadakan berbagai-bagai aktiviti untuk membantu murid menguasai ejaan dan kosa kata. Antaranya, mereka mengadakan aktiviti imlak dengan cara yang menyeronokkan seperti menyalin pengumuman, lirik lagu dan resipi. Teknik permainan bahasa seperti teka silang kata dan sahiba juga memungkinkan murid meningkatkan kemahiran mengeja dan menambah kosa kata. Gunakan teknik ini dan teknik lain agar asas untuk murid-murid cikgu itu menghasilkan karangan yang baik bertambah kukuh.

Karangan ialah gubahan fikiran yang terjelma secara lisan atau tulisan. Amat malang jikalau murid membawa kebiasaan lisan (terutamanya dalam situasi tidak formal) dalam penulisan mereka. Perkara ini sudah berlaku dan kelihatannya masih terus berlaku. Saya berharap kita bersama-sama menjadi benteng agar perkara ini tidak terus berlaku. Ada kumpulan teladan di alam nyata dan dalam interaksi maya yang dapat kita contohi. Sebagai guru atau mantan guru Bahasa Melayu, kita wajar menyertai kumpulan contoh itu. Kita bersama-sama dengan mereka menggunakan bahasa Melayu baku, sopan dan indah dalam pelbagai ranah komunikasi. Insya-Allah, murid-murid kita akan mencontohi kita dan hasilnya akan terpancar dalam karangan mereka.

Sekali lagi, karangan ialah gubahan fikiran. Gubahan fikiran yang ringkas ialah satu perkataan. Guru yang baik mengajarkan karangan secara bertatatingkat, iaitu menulis perkataan, frasa, satu ayat, beberapa ayat dan seterusnya beberapa perenggan. Maka wujudlah beberapa teknik. Antaranya termasuklah karangan berpandu, karangan terkawal dan mengarang secara bebas. Setiap teknik ini ada subtekniknya yang tersendiri. Mereka yang bergelar guru Bahasa Melayu di sekolah rendah mengetahui teknik ini dan berkemahiran mengendalikannya dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Jadi, gunakanlah teknik yang bersesuaian dengan murid-murid cikgu.

Inilah pandangan saya secara umum dan ringkas tentang penulisan karangan di sekolah rendah. Adapun pandangan dan dorongan mendalam serta latihan, wajarlah diperoleh melalui pembacaan, bengkel, kursus dan sebagainya.
~ Koleksi Puisi Klasik Dan Moden Yang Segar Sepanjang Zaman ~

Angin teluk menyisir pantai 
    Hanyut rumpai di bawah titi
Biarlah buruk kain dipakai 
    Asal pandai mengambil hati

Pergi mendaki Gunung Daik             
   Hendak menjerat kancil dan rusa         
Bergotong-royong amalan yang baik
   Elok diamalkan setiap masa

Air melurut ke tepian mandi
    Kembang berseri bunga senduduk
Elok diturut resmi padi                 
   Semakin berisi semakin tunduk

Daun sirih ulam Cik Da     
    Makan sekapur lalu mati
Walaupun banyak ilmu di dada
    Biar merunduk resmi padi

Buah pelaga makan dikikir 
    Dibawa orang dari hulu 
Sebarang kerja hendak difikir         
   Supaya jangan mendapat malu 

Kemumu di tengah pekan         
    Dihembus angin jatuh ke bawah
Ilmu yang tidak diamalkan 
   Bagai pohon tidak berbuah
Tumbuh melata si pokok tebu
   Pergi pasar membeli daging
Banyak harta tak ada ilmu 
   Bagai rumah tidak berdinding

Tulis surat di dalam gelap             
   Ayatnya banyak yang tidak kena
Jagalah diri jangan tersilap           
   Jikalau silap awak yang bencana
 
Hendak belayar ke Teluk Betong           
   Sambil mencuba labuhkan pukat
Bulat air kerana pembetung           
   Bulat manusia kerana muafakat 

 Pakai baju warna biru         
    Pergi ke sekolah pukul satu
Murid sentiasa hormatkan guru
    Kerana guru pembekal ilmu

Lagu bernama serampang laut
    Ditiup angin dari Selatan   
Layar dikembang kemudi dipaut 
    Kalau tak laju binasa badan

Padi segemal kepuk di hulu 
   Sirih di hilir merekap junjungan
Kepalang duduk menuntut ilmu
   Pasir sebutir jadikan intan.

Budak-budak berkejar-kejar
   Rasa gembira bermain di sana
Kalau kita rajin belajar           
  Tentu kita akan berjaya   

Jangan pergi mandi di lombong         
   Emak dan kakak sedang mencuci
Jangan suka bercakap bohong
   Semua kawan akan membenci

Buah cempedak bentuknya bujur
    Sangat disukai oleh semua
Jika kita bersikap jujur
    Hidup kita dipandang mulia

Jikalau tuan mengangkat peti 
   Tolong masukkan segala barang
Jikalau anak-anak bersatu hati           
   Kerja yang susah menjadi senang 

Asam kandis mari dihiris           
    Manis sekali rasa isinya   
Dilihat manis dipandang manis
    Lebih manis hati budinya 

Kayu bakar dibuat arang     
   Arang dibakar memanaskan diri
Jangan mudah menyalahkan orang
    Cermin muka lihat sendiri 

Selasih tumbuh di tepi telaga 
    Selasih dimakan si anak kuda
Kasih ibu membaa ke syurga 
    Kasih saudara masa berada

Masuk hutan pakai sepatu       
    Takut kena gigitan pacat 
 Kalau kita selalu bersatu         
    Apa kerja mudah dibuat 

Bandar baru Seberang Perai     
    Gunung Daik bercabang tiga
 Hancur badan tulang berkecai   
    Budi yang baik dikenang juga

Encik Dollah pergi ka Jambi
    Pergi pagi kembali petang
Kalau Tuhan hendak membagi   
   Pintu berkancing rezeki datang

Orang haji dari Jeddah             
    Buah kurma berlambak-lambak
Pekerjaan guru bukanlah mudah 
    Bagai kerja menolak ombak

Pinang muda dibelah dua         
    Anak burung mati diranggah
Dari muda sampai ke tua         
    Ajaran baik jangan diubah

 Terang bulan di malam sepi           
Cahya memancar kepangkal kelapa
 Hidup di dunia buatlah bakti     
    Kepada ibu dan juga bapa   

Kapal kecil jangan dibelok     
    Kalau dibelok patah tiangnya
 Budak kecil jangan di peluk     
    Kalau dipeluk patah tulangnya 

Asal kapas menjadi benang 
    Dari benang dibuat kain           
Barang yang lepas jangan dikenang   
    Sudah menjadi hak orang lain

Tengahari pergi mengail     
    Dapat seekor ikan tenggiri
 Jangan amalkan sikap bakhil 
    Akan merosak diri sendiri

Kapal Anjiman disangka hantu
    Nampak dari Kuala Acheh
Rosak iman kerana nafsu     
    Rosak hati kerana kasih 
 
Tingkap papan kayu bersegi       
   Sampan sakat di Pulau Angsa
Indah tampan kerana budi   
   Tinggi darjat kerana bahasa

Anak Siti anak yang manja   
    Suka berjalan di atas titi 
Orang yang malas hendak bekerja         
    Pasti  menyesal satu hari nanti

Bintang tujuh sinar berseri             
    Bulan purnama datang menerpa
Ajaran guru hendak ditaati         
    Mana yang dapat jangan dilupa

Parang tajam tidak berhulu 
    Buat menetak si pokok Ru
Bila belajar tekun selalu     
     Jangan ingkar nasihat guru

Hari malam gelap-gelita
   Pasang lilin jalan ke taman
Sopan santun budaya kita               
   Jadi kebanggaan zaman berzaman
 
Pergi berburu sampai ke sempadan
     Dapat Kancil badan berjalur
 Biar carik baju di badan         
     Asalkan hati bersih dan jujur

 Pulau Pandan jauh ke tengah 
     Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
    Budi yang baik di kenang juga
   
Ramai orang membeli jamu         
    Di bawah pokok cuaca redup
Bersungguh-sungguh mencari ilmu
    Ilmu dicari penyuluh hidup 

 Apa guna berkain batik           
    Kalau tidak dengan sucinya?
Apa guna beristeri cantik       
    Kalau tidak dengan budinya 

Berakit-rakit ke hulu             
    Berenang-renang ke tepian 
 Bersakit-sakit dahulu             
    Bersenang-senang kemudian

  Buah cempedak diluar pagar     
    Ambil galah tolong jolokkan
 Saya budak baru belajar         
   Kalau salah tolong tunjukkan 

Pisang emas dibawa belayar 
    Masak sebiji di atas peti
  Hutang emas boleh dibayar     
    Hutang budi dibawa mati

Dalam semak ada duri         
    Ayam kuning buat sarang
Orang tamak selalu rugi         
    Macam anjing dengan bayang

 Baik-baik mengirai padi         
    Takut mercik ke muka orang
 Biar pandai menjaga diri         
    Takut nanti diejek orang 

Ke hulu membuat pagar
   Jangan terpotong batang durian
Cari guru tempat belajar       
    Supaya jangan sesal kemudian

Mari kita tanam halia         
    Ambil sedikit buat juadah
Usia muda jangan disia     
    Nanti tua sesal tak sudah

Padi muda jangan dilurut   
    Kalau dilurut pecah batang
Hati muda jangan diturut   
    Kalau diturut salah datang

Cuaca gelap semakin redup           
   Masakan boleh kembali terang
Budi bahasa amalan hidup             
   Barulah kekal dihormati orang

Orang Daik memacu kuda   
    Kuda dipacu deras sekali
Buat baik berpada-pada       
    Buat jahat jangan sekali

Dayung perahu tuju haluan             
   Membawa rokok bersama rempah
Kalau ilmu tidak diamalkan
   Ibarat pokok tidak berbuah

Kalau kita menebang jati             
    Biar serpih tumbangnya jangan
Kalau kita mencari ganti 
    Biar lebih kurang jangan

Pinang muda dibelah dua 
    Anak burung mati diranggah
Dari muda sampai ke tua 
   Ajaran baik jangan diubah 

Pantai Mersing kuala Johor                 
   Pantainya bersih sangat mashyur
Pohonkan doa kita bersyukur         
  Negara kita aman dan makmur
 
Orang tua patut disegani     
    Boleh mendapat ajarnasihat
Ular yang bisa tidak begini 
    Bisa lagi lidah yang jahat

Ramai orang menggali perigi
    Ambil buluh lalu diikat 
Ilmu dicari tak akan rugi 
        Buat bekalan dunia akhirat

Tuan Haji memakai jubah                     
   Singgah sembahyang di tepi lorong
Kalau sudah kehendak Allah             
   Rezeki segenggam jadi sekarung

Patah gading serpih tanduk
    Mari diletak di atas papan
Jika tahu ganja itu mabuk
    Buat apakah ia dimakan

Anak rusa masuk ke taman         
     Puas sudah orang memburu
Kalau muda jadikan teman
     Kalau tua jadikan guru
       
Berakit ke hulu dengan bergalah 
    Buluh pecah terbelahdua
Orang tua jangan dilangkah 
   Kelak biadap dituduhnya pula

Rusa betina berbelang kaki 
     Mati terkena jerat sembat         
Orang yang muda kita sanjungi 
     Orang yang tua kita hormat

Saturday, 8 December 2012

Alhamdulillah.... siap sudah semua tugasan yang dipertanggungjawabkan...

Friday, 7 December 2012

KESALAHAN BAHASA DALAM KALANGAN MASYARAKAT MAJMUK-Siti Sabariah bt Kasmiran [diselenggarakan oleh Rozali Rajab] Abstrak Isu kesalahan berbahasa tiada kesudahannya. Banyak persoalan berhubung kait terutama dalam konteks negara bangsa yang pelbagai latar belakang, kebudayaan, bahasa dan agama. Usaha untuk memupuk perpaduan diterapkan terutamanya dengan penggunaan Bahasa Melayu sebagai alat komunikasi utama. Namun di sebalik usaha yang dijalankan, wujud isu lain yang perlu diambil perhatian iaitu masalah berbahasa dalam kalangan Masyarakat Malaysia. Objektif kajian untuk membincangkan kesalahan bahasa, menghurai faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya kesalahan bahasa dan mengenal pasti cara mengatasi masalah tersebut. Masyarakat majmuk di negara ini menjadi rujukan utama kajian. Oleh itu, kaedah pemerhatian dan pembacaan bahan ilmiah digunakan. Walaupun fenomena masalah yang dikaji amat luas tetapi kajian hanya tertumpu kepada kesalahan bahasa yang wujud dalam sebuah negara yang pelbagai bangsa, agama dan kebudayaan di Malaysia. Kajian akan merujuk kepada faktor-faktor yang menyebabkan kesalahan penggunaan bahasa dari segi pertuturan dan penulisan. Hasil kajian yang dijalankan akan dapat mengetahui tentang kesalahan bahasa ketika pertuturan atau kesalahan mengeja dalam penulisan. Kesalahan ini terjadi akibat faktor dialek , pengaruh media, pengaruh bahasa lain, pencemuhan dan bahasa slanga. Selain itu, kesalahan bahasa juga boleh wujud disebabkan oleh keanekaan latar belakang, kurang pemahaman aspek tatabahasa dan faktor laras iklan. PENGENALAN Kesalahan bahasa merupakan kombinasi dua perkataan “kesalahan” dan “bahasa”. Kesalahan merujuk perbuatan salah atau kesilapan. Perkataan bahasa pula, bermakna sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia. Menurut seorang sarjana Jerman, Wilhem Von Humbodt, bahasa ialah satu sintesis daripada bunyi yang dibentuk oleh “lautform” bentuk luaran dan fikiran yang dibentuk oleh “idenform” bentuk dalaman. Hasilnya, pelbagai ragam ujaran yang tidak terbatas jumlahnya dapat diterbitkan. Sementara itu, seorang lagi sarjana linguistik Amerika, John B. Carol, mentakrifkan bahasa sebagai satu sistem berstruktur daripada bunyi vokal dan urutan bunyi yang dipakai sewenang-wenangnya atau yang digunakan untuk berkomunikasi oleh sekumpulan manusia. Hasilnya, bahasa dapat dirumuskan sebagai satu struktur yang unik daripada bunyi ucapan yang dipilih dan disusun secara sewenang-wenangnya untuk digunakan oleh sesuatu masyarakat sebagai pelat berkomunikasi. Pada keseluruhannya bahasa adalah alat untuk berkomunikasi dan terdiri daripada kalimah. Bahasa mempunyai ciri unik. Antara ciri-cirinya: a. Bahasa mempunyai bunyi yang dihasilkan oleh alat artikulasi iaitu mulut, hidung dan paru-paru. b. Bahasa mempunyai sistem. Bahasa mempunyai susunan bunyi, perkataan, nahu ataupun sintaksis yang tertentu. c. Bahasa mempunyai bentuk tertentu seperti ayat, rangkai kata, perkataan,imbuhan dan lain-lain. d. Bahasa mempunyai makna yang ditugaskan untuk menyatakan sesuatu. e. Bahasa itu berubah. f. Bahasa arbitrari yang mempunyai hubungan antara bunyi yang dilafazkan dengan benda yang dimaksudkan. g. Bahasa itu linear. George (1973), berpendapat bahawa kesalahan bahasa ialah “….an unwanted form which a particular course designer or teacher does not want”. Menurutnya kesalahan bahasa adalah mengikut pertimbangan cita rasa seseorang guru. Penggunaan bahasa tidak formal dalam penggunaan formal mengakibatkan kesalahan bahasa. Kesalahan bahasa bererti kesilapan yang berlaku sama ada melalui pertuturan atau tulisan. Nak Safiah Karim (1980:10) berpendapat, kesalahan bahasa bererti penggunaan bahasa yang melanggar peraturan-peraturan bahasa yang dipersetujui, sama ada pada peringkat sebutan, pilihan kata atau susunan frasa dan ayat. Nik Safiah Karim dalam Dewan Bahasa, turut menyatakan terdapat tiga peranan utama yang dimainkan oleh bahasa Melayu iaitu sebagai bahasa kebangsaan yang berjaya direalisasikan dengan beberapa dasar yang digubal oleh kerajaan. Begitu juga sebagai bahasa ilmu yang mampu bersaing dengan bahasa Inggeris. Namun fungsinya sebagai bahasa perhubungan dengan penggunaan bahasa rojak (salah satu kesilapan bahasa) mencemarkan kedaulatan bahasa Melayu. Selain itu banyak kesalahan bahasa juga wujud kerana kurangnya pengetahuan tentang bahasa Melayu dan pengaruh bahasa kaum lain di Malaysia. Budaya merujuk kepada peraturan yang dikongsi bersama. Budaya Melayu adalah satu set nilai, kepercayaan dan sikap yang dikongsi bersama oleh kebanyakan ahli bangsa Malaysia. Budaya Melayu mempengaruhi banyak aspek kehidupan bangsa Malaysia. Perkongsian paling nyata adalah penggunaan bahasa Melayu. Bahasa Melayu merupakan aset penting bagi memupuk kesatuan dalam konteks masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Bahasa penting dalam menghapuskan polarisasi etnik dengan memupuk penyatuan menyeluruh dengan nilai persefahaman yang dipersetujui bersama. Oleh itu, bahasa Melayu merupakan platform dalam memupuk agenda ini dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia meskipun wujud sifat kepelbagaian budaya dan kaum. Seirama dengan pemakaiannya yang semakin meluas, kesalahan-kesalahan penggunaan bahasa oleh bangsa Malaysia merupakan fakta yang menonjol. Kesilapan yang dianggap pencemaran bahasa akan serta-merta mengingatkan semua pihak kepada pencemaran udara dan alam sekitar yang menjadi fenomena zaman moden yang menakutkan. Bangsa Malaysia terdiri daripada berbilang kaum yang masing-masing mempunyai bahasa ibunda yang berlainan. Rakyat berbilang kaum ini telah mengalami sistem persekolahan dan bahasa penghantar yang berlainan. Dialek daerah berlainan di Malaysia juga memerlukan proses standardisasi kerana turut menjadi punca kesilapan penggunaan bahasa. Sejauh mana kita bergerak ke arah Negara cemerlang, gemilang dan terbilang, harus ada usaha supaya bahasa Melayu kekal berdaulat sebagai bahasa yang mampu bergerak seiring dengan kemajuan dan kecanggihan teknologi tetapi entitinya harus ada supaya bahasa Melayu terus bersaing dan disegani di mata masyarakat dunia. Kesalahan Bahasa Secara Umum Bahasa Melayu atau disebut bahasa Malaysia di dalam buku Pendidikan Negara Bangsa Malaysia oleh Ishak Saat dinyatakan sebagai bahasa penyatuan. “Bahasa jiwa Bangsa” berperanan penting membentuk jati diri dan identiti sesebuah bangsa. Bangsa yang dimaksudkan adalah bangsa Malaysia. Usaha memartabatkan bahasa Melayu juga perlu diperkasa semaksimum mungkin bagi menjayakan gagasan “satu bahasa, satu bangsa, satu Malaysia”. Semua pihak daripada pucuk pimpinan sehinggalah ke akar umbi perlu menggembleng tenaga untuk menjayakan matlamat ini. Sehubungan itu kesalahan bahasa yang terjadi perlu diperbetulkan. Sejak bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa rasmi (kebangsaan) dalam perlembagaan Tanah Melayu yang merdeka, dengan sendirinya bahasa Melayu menjadi milik orang Melayu, orang Cina, orang India dan semua penduduk warganegara Persekutuan Tanah Melayu. Maka, untuk berkomunikasi dengan berkesan, kita perlu memilih bahasa yang diketahui oleh semua pihak. Kesalahan sering timbul ketika komunikasi berlangsung antara bangsa yang berlainan. Yang pertama kesalahan penggunaan kata. kesalahan penggunaan kata menimbulkan rasa kurang senang tetapi tidak menjejaskan makna kerana kebanyakan kita dapat memahami maksud yang hendak disampaikan. Kesalahan seperti ini kerap terjadi kerana kurang pemahaman tentang tatabahasa. Contoh 1. “Baru” dengan “baharu”. 1a. Ayah baru sampai dari kampung. 1b. Baju baru yang dibelinya berwarna kuning. Penggunaan ejaan baru dalam ayat 1a betul yang merujuk kepada masa. Tetapi baru pada ayat 1b salah kerana ayat merujuk kepada benda. Sepatutnya dieja baharu. Contoh 2. Penggunaan “di” sebagai kata sendi dan imbuhan 2a. Buku itu disimpan di dalam almari. 2b. Negeri Melaka telah berkembang maju di zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah. 2c. Sila letakkan borang di dalam kotak ini. Kata sendi di ditulis berpisah daripada Kata Nama yang mengikutnya. Dalam hal ini. Ayat 2a betul tetapi penggunaan di dalam ayat 2b salah. Bagi ayat 2c penggunaan di dijadikan kata imbuhan dan dirapatkan adalah salah tetapi yang dikesalkan ayat 2c menjadi label yang dipaparkan di salah sebuah pejabat imigresen di negara kita. Hanya di yang berfungsi sebagai kata imbuhan perlu dirapatkan. Kedua, kesalahan frasa. Kesalahan frasa kerap berlaku kerana melanggar Hukum D-M, iaitu penerang mendahului unsur yang diterangkan. Contohnya Chan Restoran sepatutnya Restoran Chan. Frasa terbitan sering kedengaran menerusi radio, televisyen dan surat khabar. Contohnya Johor leads by 2-0. Ayat tersebut diterjemahkan menjadi Selangor mendahului 2-0 dan membawa maksud yang tidak jelas. Sepatutnya, pasukan Selangor mendahului pasukan lain dengan mata 2-0. Ketiga kesalahan ayat. Kesalahan ayat turut berlaku terutama ayat tergantung. Walaupun maksud yang ingin disampaikan mungkin dapat difahami tetapi ayatnya tidak lengkap. Contoh 3. Tidak lebih dan tidak kurang. Contoh 4. Lebih penerbangan. Lebih pilihan. Contoh 5. Hanya satu calitan. Contoh 6. Alimah guru. Ayat lengkap mesti mengandungi subjek yang bersifat frasa nama dan predikat. Predikat ialah kumpulan perkataan yang tergolong dalam satu frasa dan menjadi unsur yang menerangkan subjek. Contoh 6 adalah ayat tunggal yang lengkap kerana Alimah adalah subjek dan guru adalah predikat. Ini berbeza dengan contoh ayat 3, 4 dan 5. Kesalahan Bahasa Dalam Kalangan Masyarakat Majmuk Corder 1973 berpendapat bahawa sebab terjadi kesalahan bahasa ialah kerana terdapat banyak peraturan yang ada pada sesuatu bahasa iaitu formal dan tidak formal. Kadang-kadang, jika tidak berhati-hati, dalam masa menggunakan bahasa formal seseorang akan terbawa-bawa dengan bentuk yang tidak formal. Penggunaan bentuk bahasa yang tidak formal adalah dianggap kesalahan bahasa. Malah sesuatu bahasa lazimnya mempunyai dialek-dialek. Penggunaan dialek adalah tidak formal. Oleh itu jika dialek dicampuradukkan dengan bahasa formal atau standard maka terjadilah kesalahan bahasa. Sharma (1981), berpendapat bahawa kesalahan bahasa dibahagikan kepada 3 kategori. Pertama kesalahan bahasa disebabkan faktor lupa, gangguan emosi, kelalaian dan kurang latihan. Kedua, kesalahan bahasa berpunca daripada kekacauan atau kekeliruan kerana wujudnya faktor-faktor kelainan bentuk dalam penggunaan sesuatu bahasa formal (bahasa persuratan, bahasa akademik dan bahasa kesusasteraan) dan tidak formal (dialek dan bahasa pasar). Ketiga kesalahan bahasa khas bagi penggunaan bahasa kedua iaitu bahasa yang dikuasai terkemudian daripada perolehan bahasa pertama iaitu bahasa ibunda. Kesalahan umum memang luas jika diperkatakan tetapi kesalahan disebabkan pengaruh masyarakat bangsa Malaysia berlaku disebabkan banyak faktor. Faktor-faktor yang mengundang kesilapan dalam penggunaan bahasa antaranya: i. Faktor dialek ii. Faktor pengaruh media iii. Faktor pengaruh bahasa lain iv. Faktor pencemuhan v. Faktor bahasa slanga vi. Faktor keanekaan latar belakang vii. Faktor kurang pemahaman tatabahasa viii. Faktor pengaruh bahasa iklan Faktor pertama pengaruh dialek. Dialek menurut Hartmab dan Stork (1972), ialah sejenis kelainan bahasa yang berbeza daripada segi sebutan, tatabahasa dan kosa kata daripada bahasa standard. Pengaruh bahasa dialek begitu menebal mempengaruhi sistem bunyi. Bahasa dialek itu mempengaruhi penulisan terutamanya murid-murid di pantai timur. Bahasa dialek sebenarnya ialah tradisi lisan tempatan. Apabila murid-murid bertutur menggunakan bahasa dialek, maka bukan ayat lengkap yang dipertuturkan tetapi frasa dan klausa atau struktur ayat yang hanya difahami oleh penutur asal dari daerah dialek yang sama. Berikut ialah beberapa contoh ayat yang biasa digunakan oleh penutur di Terengganu. Contoh 7. Ali menangkap ikang. Contoh 8. Adik melukis bulang. Contoh ayat 7 dan 8 adalah ayat lengkap tetapi penggunaan perkataan ikan dan bulan dieja mengikut sebutan dialek yang menyebabkan kesalahan ejaan. Contoh 9. Ambo suka makan di kedai bersih. Demo lagu mano? Ayat betul: Saya suka makan di kedai bersih? Awak macam mana? Contoh 10. Cakna pendidikan Kelantan tersohor. Di dalam Kamus Dewan perkataan cakna bermaksud ambil berat atau ambil tahu tetapi jarang digunakan dan menjadikan ayat tersebut janggal bagi masyarakat negeri lain. Ayat tersebut boleh diperbaiki menjadi “Ibu bapa harus cakna pelajaran anak supaya Kelantan tersohor dalam bidang pendidikan”. Contoh 11. Maghi pakat gi jale. Maksud ayat: Jom kita pergi melancong. Contoh 12. Sudoh slaluh. Ayat tersebut bermaksud siap dengan segera. Contoh ayat 9 hingga 12 adalah salah jika dinilai daripada sudut penggunaan perkataan yang dientrikan dalam kamus. Papan tanda dan kain rentang yang dipamerkan membuktikan bahawa bahasa dialek ini diterima pakai di negeri atau daerah tertentu. Persoalannya, siapakah yang harus dipersalahkan? Adakah kita perlu mengorbankan kedaulatan bahasa Melayu demi menaikkan taraf bahasa daerah? Umum mengetahui terdapat banyak bahasa dialek tetapi hanya bahasa Melayu Baku ditetapkan untuk dijadikan bentuk bahasa rasmi. Bahasa dialek memberi maksud berbeza yang sukar ditafsirkan. Contoh 13. Sudah banyak kali saya bilang sama dia. Contoh 14. Mama saya belum pulang lagi. Contoh 15. Saya akan pulang jam tiga. Perkataan bilang dalam ayat 13 bermaksud memberitahu. Mama dalam ayat 14 merujuk kepada ibu atau emak di sabah tetapi tidak diterima dalam bahasa Melayu kerana kata mama sebenarnya mengikut Kamus Dewan ialah bahasa percakapan bagi kata ibu. Kata jam di dalam ayat 15, merujuk Kamus Dewan edisi keempat adalah sejenis alat untuk menunjukkan waktu. Kata jam biasanya diganti dengan pukul yang lebih jelas merujuk kepada waktu. Dalam bahasa Melayu, kata jamban membawa makna tempat membuang air atau tandas tetapi dalam dialek Pahang membawa maksud tempat mandi atau basuh kain. Di Kelantan dan Terengganu dialeknya lebih sukar difahami. Contohnya kata bidas bererti memantul menurut Kamus Dewan tetapi membawa maksud lastik mengikut fahaman dialek masyarakat di negeri tersebut. Kata bahang yang bermaksud hawa panas akan berubah maksud menjadi bahagian, hal dan kepunyaan mengikut maksud dialek Perak. Rumusan daripada contoh di atas dapat disimpulkan bahawa pengguna kata dialek mendukung maksudnya sendiri yang tidak difahami oleh masyarakat luar lingkungannya dan membawa maksud berbeza daripada maksud yang terdapat di dalam Kamus Dewan. Ini menimbulkan banyak kekeliruan dan kesalahan penggunaan kata bahasa Melayu. Faktor kedua, pengaruh media. Memang tidak dapat dinafikan bahawa media elektronik seperti radio dan televisyen, memainkan peranan penting dalam perkembangan bahasa terutamanya kanak-kanak. Melalui radio dan televisyen, mereka mempelajari aspek bahasa seperti sebutan, perbendaharaan kata, intonasi dan sebagainya. Bunyi vokal dan konsonan dalam perkataan perlu dibunyikan dengan betul kerana jika tidak, akan timbul masalah. Di dalam bahasa Melayu banyak perkataan yang akan bertukar maksud jika salah sebutannya. Misalnya tempoh dengan tempuh, dadah dengan dada, marah dengan mara, belot dengan belut, masakan dengan masakkan, mengubah dengan menggubah atau tumbuk dengan tembok. Salah sebutan akan merubah maksud yang ingin disampaikan. Hal ini terjadi terutamanya bagi penutur bukan Melayu. Selain itu, terdapat juga kesalahan pengulangan kata jamak seperti mereka menjadi mereka-mereka atau para penulis menjadi para penulis-penulis. Kesalahan bahasa yang dilakukan oleh media turut menjadi ikutan khususnya bagi mereka yang tidak mendalami tatabahasa. Kadangkala pengguna bahasa Melayu, termasuk pelajar masih meyakini tatabahasa dan ejaan yang digunakan oleh media meskipun salah. Contohnya: Contoh 16. Van yang mereka naiki telah terbabas. Contoh 17. Alya melaporkan dari Johor. Contoh 18. Lain-lain perkara akan dibincangkan kemudian. Contoh 19.Usaha memperluaskan jalan sedang dijalankan. Contoh 20. Bagaimanapun ada perkara yang tidak jelas yang mana ramai orang tidak mengetahuinya. Bagi ayat 16 dianggap tidak menepati struktur ayat pasif kata ganti nama diri ketiga. Kesalahan di dalam ayat 17, Kata kerja transitif hendaklah diikuti oleh objek. Bagi ayat 18 berlaku kesalahan hukum D-M. Bagi ayat 19, berlaku kesalahan kerana penggunaan apitan memper….. kan pada kata adjektif. Ayat 20 yang tertulis pada akhbar Harian Metro 23 Januari , yang mana adalah terjemahan terus which dalam bahasa Inggeris. Pihak media massa sepatutnya lebih prihatin mengelak daripada melakukan kesalahan bahasa. Media perlu memainkan peranan mengetengahkan sesuatu kosa kata baharu dan menggunakan ayat yang betul untuk dimanfaatkan oleh pengguna. Faktor ketiga, pengaruh bahasa lain. Kesalahan bahasa turut berpunca daripada pengaruh bahasa Inggeris. Hal ini berlaku kerana sesetengah anggota masyarakat yang menguasai bahasa Inggeris kadangkala cenderung untuk menggunakan bahasa Melayu menurut peraturan bahasa Inggeris. Sebagai contoh penggunaan di mana (where) dan yang mana (which) sebagai kata hubung dalam ayat begitu meluas seolah-olah diterima dalam bahasa Melayu. Malah golongan intelektual dan individu yang dianggap berpengetahuan dalam bahasa Melayu turut mengamalkan kesalahan tersebut. Demikian juga penggunaan frasa yang tidak mematuhi hukum D-M, misalnya lain-lain hal dan mini maraton. Pengaruh bahasa Inggeris juga sering dicampur aduk dalam bahasa Melayu sedangkan istilah tersebut telah sedia ada dalam bahasa Melayu. Sebagai contoh, ori (asli atau tulen), live (langsung atau terus), breakfast (sarapan), lunch (makan tengah hari) dan dinner (makan malam). Kita bangga jika bangsa Malaysia boleh berbahasa Inggeris tetapi janganlah menggunakan bahasa rojak sesuka hati yang merosakkan imej bahasa kebangsaan. Sesetengah orang pula sukar menyebut sesuatu perkataan berdasarkan sebutan yang diseragamkan, terutamanya bagi perkataan pinjaman daripada bahasa Inggeris. Oleh sebab itu, masih banyak orang menyebut perkataan tertentu seperti sebutan Inggeris walaupun dieja dalam bahasa Melayu. Misalnya, struktur (structure), aktif (active),dan psikologi (psychology). Amalan demikian akan menjadi ikutan generasi baharu. Kesalahan ejaan pasti berlaku jika salah sebutan. Misalnya, agenda dieja ajenda, unit dieja yunit dan teknologi dieja teknoloji. Penguasaan bahasa Inggeris memang perlu dalam era globalisasi. Namun mengagung-agungkan bahasa Inggeris akan menyukarkan usaha untuk mengatasi masalah kesalahan bahasa yang kerap berlaku. Penggunaan bahasa campuran atau rojak dalam pelbagai situasi termasuklah situasi rasmi menyebabkan kekeliruan. Selain pengaruh bahasa Inggeris, kesalahan bahasa juga sering berlaku akibat pengaruh bahasa Cina dan India. Antara ayat yang sering kita dengar seperti: Contoh 21. Jangan takut menderma dara (darah). Contoh 22. Ramai pelajar sekarang yang ditangkap menghisap dada (dadah). Contoh 23. Jangan mara-mara (marah-marah), nanti cepat tua. Contoh 24. Saya mahu membeli telo (telur). Penggunaan kata lain seperti senarai disebut senarai, cendekiawan disebut can-dia-kawan dan pengarah disebut pen-ga-rah. Pada kain rentang dan papan tanda gambar 2,4 dan 5 terdapat kesilapan ejaan seperti salapan (sarapan), negera (nagara) dan memjual (menjual). Kesalahan ejaan sebegini kerap berlaku kerana dieja mengikut bahasa Cina. Campur aduk penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu juga dapat dilihat. Contohnya bagi perkataan tingkat 2 dan floor 2, plumber paip air & tandas dan lori sewa 24 hour dalam gambar 1, 3 dan 6. Faktor keempat, pencemuhan. Pencemuhan menggunakan bahasa kasar dan lucah semakin mendapat tempat terutama dalam kalangan muda-mudi tanpa mengira kaum. Penggunaan bahasa ini sering kedengaran melalui lagu terutama muzik rap. Lagu adalah cabang seni. Penggunaan perkataan lucah bukan sahaja mencemarkan bahasa dan bangsa Melayu tetapi membunuh nilai seni budaya. Apabila berlaku perkara yang tidak diingini, luahan nama Allah sering kedengaran. Bahasa kesat biasanya digunakan untuk meluahkan emosi berang atau ingin bergurau. Kehalusan budaya bangsa akan lenyap jika budaya seperti ini yang dijunjung. Kesedaran terhadap hala tuju bahasa amat penting dan kehadiran unsur tertentu perlu dihindari demi memartabatkan bahasa dan mempertahankan tamadun budaya bangsa Malaysia. Faktor kelima, bahasa slanga. Bahasa slanga adalah kelainan bahasa yang dicirikan oleh kosa kata yang baru digubal dan cepat berubah. Misalnya bahasa pelajar di universiti dan golongan muda mempunyai slanga tersendiri semasa bertutur dan ada kalanya kita sebagai golongan dewasa tidak memahami apa-apa yang diperkatakan oleh mereka. Penggunaan bahasa slanga atau frasa seperti very fantastic di saluran Astro, jika dibiarkan tanpa teguran akan menjadi sebati dengan bahasa Melayu. Ini akan mengancam bahasa kerana bermula dengan perkataan slanga lama kelamaan diterima oleh semua masyarakat. Contoh lain perkataan gay, sekitar 1960-an digunakan tanpa sebarang masalah. Namun begitu sekarang perkataan itu akan membawa erti yang agak negatif iaitu orang yang homoseksual. Sistem pesanan ringkas (SMS) yang banyak meringkaskan perkataan hakikatnya merosakkan bahasa jika tidak dipantau penggunaannya dan dipraktikkan dalam situasi formal. Perkataan yang digunakan juga sama seperti bahasa slanga yang sering berubah mengikut peredaran zaman. Dahulu kita menggunakan perkataan kekasih, kini pelbagai perkataan baharu digunakan seperti makwe, cewek dan awek. Namun maksudnya masih sama. Ko pula digunakan untuk awak dan gua untuk saya.. Faktor keenam keanekaan latar belakang. Keanekaan latar belakang ialah warisan kita yang terdiri daripada berbilang kaum, agama dan kebudayaan. Ini merupakan keunikan bangsa Malaysia tetapi jika dilihat dari satu sudut yang lain, hal tersebut merupakan masalah dan cabaran untuk memastikan semua bangsa dapat menguasai dan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dengan betul. Di peringkat awal iaitu melalui pembelajaran di sekolah dapat dikesan kesalahan berlaku dalam semua bidang kemahiran bahasa dan aspek bahasa. Gangguan bahasa ibunda berlaku kerana penggunaan bahasa Cina, bahasa Tamil, bahasa Jawa, bahasa Inggeris dan lain-lain sejak kecil. Gangguan sistem bunyi bahasa ibunda mereka boleh menyebabkan kesukaran dalam aspek sebutan dan intonasi bahasa Melayu yang dipelajari sebagai bahasa kedua. Masalah ini pernah dibicarakan oleh Jack C Richards (1980) sebagai “masalah antara bahasa” atau interlanguage problems. Bagi kaum Cina, masalah sebutan dan intonasi berlaku apabila bertutur dalam bahasa Melayu. Masalah ini boleh didengar di kelas, kedai, di pasar atau 288 melalui media elektronik seperti radio atau televisyen. Yang berikut adalah sebahagian contoh kesalahan sebutan yang kerap dilakukan oleh penutur Cina. BIL PERKATAAN BAHASA MELAYU SEBUTAN SALAH 1. Banyak Manyak 2. Cakap Ciakap 3. Dahulu Lulu 4. Duit Luit 5. Dengan Degan 6. Lebih Lebeh 7. Sudah Suda 8. Semua Suma 9. Sedang Sidang 10. Zaman J aman Kesalahan penutur kaum India akibat pengaruh bahasa ibunda agak berbeza dengan kaum Cina. Contoh-contoh di bawah adalah antara kesalahan sebutan yang biasa dituturkan oleh bangsa Malaysia berketurunan Cina dan India. Namun tidak dinafikan, sistem pendidikan mampu mengubah fenomena ini dan ramai di kalangan bangsa lain di negara ini mampu bertutur bahasa Melayu dengan lancar dan betul. BIL PERKATAAN BAHASA MELAYU SEBUTAN SALAH 1. Apa Appa 2. Boleh Bole 3. Darah Dara 4. Enam Annam 5. Getah Keta 6 . Hisap Isap 7. Murah Mura 8. Puluh Pulu 9. Pergi Pigi 10. Sendiri Sindri Selain aspek sebutan, aspek intonasi juga merupakan masalah kerana dilagukan mengikut intonasi bahasa ibunda Cina dan India. D.A.Wilkins (1981:24) menegaskan bahawa: Peranan guru amat penting sebagai ejen pengajar yang paling berpengaruh dan merupakan model atau sumber teladan yang akan ditiru oleh murid-murid. Guru bahasa Melayu terutamanya tidak boleh bersikap seperti ketam dan menyuruh murid-muridnya berjalan betul, sedangkan guru sendiri berjalan senget. Sekiranya guru bahasa Melayu sendiri menghadapi masalah ketika bertutur atau mengajar, mereka perlu mengatasinya dengan segera. Faktor ketujuh, kurang pengetahuan bahasa Melayu. Faktor ini jika dinilai terjadi kepada semua bangsa Malaysia. Kurangnya pemahaman bahasa Melayu menyebabkan banyak kesalahan bahasa yang dilakukan. Salah satu kesalahan yang berlaku adalah penggunaan kata tunjuk itu dan ini. Menurut Prof. Slametmuljana, dalam percakapan bahasa yang kurang teratur, kata tunjuk ditempatkan di depan kata yang ditunjuk seperti: Contoh 25. Ini kereta Honda City. Contoh 26. Itu hari saya sudah pulang ke kampung. Penggunaan kata tunjuk seperti contoh ayat 25 dan 26 adalah seperti ayat berunsur bahasa basahan dan kolokial. Dalam aspek penulisan, amalan kelewahan amat jelas. “Leweh” menurut Kamus Dewan 2004 bermakna terlalu banyak hingga berlimpah-limpah. Dalam konteks bahasa, amalan kelewahan dapat diertikan sebagai penggunaan kata, frasa ataupun ungkapan secara berlebihan dalam penulisan dan jika digunakan tidak menambah maksud, malah merosakkan kelancaran dan kepersisan sesuatu ayat. Selain itu. penggunaannya tidak pula menjadikan bahasa itu indah ataupun melancarkan proses komunikasi. Kelewahan juga terjadi kerana pengguna bahasa tidak tahu atau tidak berfikir dahulu ketika hendak menggunakan bahasa. Contoh 27. Hadiah percuma itu diberi kepada semua peserta. Contoh 28. Nelayan yang menangkap ikan telah ditangkap kerana memasuki perairan negara jiran. Penggunaan kata hadiah tidak perlu diikuti dengan kata percuma kerana sesuatu hadiah adalah percuma. Dalam ayat 28 pula, penggunaan kata nelayan cukup menjelaskan tugas menangkap ikan. Jadi ungkapan yang menangkap ikan tidak diperlukan dan dianggap kelewahan dan mubazir. Contoh lain penggunaan frasa pada masa ini (kini), penghuni yang tinggal di (penghuni) dan sekolah tempat kami belajar (sekolah kami). Frasa yang ditulis panjang hanya perlu ditulis seperti di dalam kurungan supaya menjadi ayat yang tepat. Dalam hal kelewahan, Yeop Johari Yaakob (1987) menggolongkan ulangan kata sebelum penanda jamak sebagai amalan mubazir. Umpamanya, semua pegawai-pegawai, sebilangan besar kakitangan-kakitangan kerajaan dan pokok-pokok itu tinggi-tinggi belaka, ditakrifkan sebagai mubazir. Amalan ini dikelaskan sebagai kesalahan bahasa yang harus diberhentikan oleh pengguna bahasa Melayu demi kebakuan dan ketulenan bahasa Melayu. Selain itu kelewahan lain seperti menjamakkan kata bilangan seperti banyak kereta-kereta sepatutnya banyak kereta atau kereta-kereta. Kelewahan imbuhan adjektif memper….. –kan dan diper ….;kan berlaku kerana kecenderungan untuk menggandingkan kedua-dua imbuhan dengan kata dasar yang terdiri daripada kata adjektif seperti memperkemaskan sepatutnya memperkemas atau mengemaskan dan dipertingkatkan sepatutnya dipertingkatkan atau ditingkatkan. Kelewahan apitan memper….-i, mengikut Tatabahasa Dewan edisi baharu hanya ada empat bentuk sahaja yang wajar iaitu memperingati, memperkawani, memperisteri dan mempersuami. Bentuk memperisteri dan mempersuami sebenarnya mengalami pengguguran i kerana sebenarnya berbentuk memperisterii dan mempersuamii. Faktor usia juga menjadi salah satu sebab berlakunya kesalahan bahasa. Kurangnya pemahaman yang sudah menjadi kebiasaan menyebabkan golongan ini kekok mengubah sesuatu yang telah sebati. Komunikasi mereka terganggu sekiranya mencuba untuk menggunakan bahasa baharu yang betul tetapi dianggap asing. Masalahnya, kesalahan bahasa yang digunakan ini akan menjadi ikutan orang lain yang mendengarnya. Kesalahan bahasa yang agak luas penggunaannya akan berterusan. Malah sesetengah pelajar menyedari kesalahan tersebut, tetapi masih melakukannya kerana terpengaruh oleh penggunaan bentuk lazim orang tua mereka. Antara contoh kesalahan bahasa termasuklah yang berikut: i. Ramai murid-murid sekolah…………… ii. Semua pekerja-pekerja kilang…………….. iii. Di saat-saat akhir …………. iv. Kedua ibu bapa…………….. v. Demi untuk negara…………….. vi. Senarai nama-nama calon vii. …………….……dari masa ke semasa…………….. vii …..adalah merupakan……………. Semua pihak tidak menyangkal kepentingan tatabahasa dan sistem ejaan sesuatu bahasa, tetapi penguasaan bahasa Melayu di negara ini masih kurang memuaskan. Jika dilihat dengan teliti aspek tatabahasa bahasa Melayu memang sukar dikuasai dan perlu dipelajari oleh semua lapisan masyarakat. Faktor kelapan, laras iklan. Iklan berfungsi untuk mempromosikan sesuatu produk atau perkhidmatan kepada pengguna. Penguasaan bahasa merupakan komponen penting dalam sesebuah iklan kerana tanpa bahasa sesebuah iklan tidak mungkin terhasil. Penggunaan bahasa dalam iklan memberi pengaruh yang besar kepada pengguna dan sebagai pengguna kita sepatutnya berupaya memahami tugas penulis iklan di ruangan sempit. Contohnya slogan “ sehingga menjilat jari”. Umum mengetahui slogan tersebut digunakan oleh ‘Kentucky Fried Chicken” sebagai usaha melariskan jualan. Penghargaan seharusnya diberi kepada penulis yang kreatif dan berusaha menggunakan bahasa Melayu. Gaya penulisan iklan menitikberatkan bahasa yang betul dan gramatis. Namun ramai penulis yang gagal memastikan ayat yang ditulis betul tatabahasanya. Salah guna bahasa iklan berlaku kononnya untuk menyesuaikan bahasa yang digunakan masyarakat semasa bertutur iaitu mengikut kesesuaian taburan demografinya. Contohnya menyerapkan bahasa slanga golongan remaja dalam iklan. Bahasa Melayu standard dan formal dianggap kaku dan ini berbeza dengan kehendak DBP. Iklan bertujuan untuk memudahkan pemahaman dan ayat yang tergantung dalam iklan hanyalah taktik untuk menarik perhatian masyarakat. DBP sepatutnya dapat bekerjasama dengan pihak pengiklanan untuk memastikan bukan sahaja keuntungan yang terhasil tetapi juga dapat memartabatkan bahasa Melayu dalam bidang pengiklanan. Cara Mengatasi Masalah Kesalahan Bahasa Dalam usaha mempercepat penguasaan bahasa Melayu di kalangan bangsa Malaysia, Kementerian Pelajaran harus melentur buluh dari rebungnya dengan memperkasakan sekolah kebangsaan di negara ini. Cara ini dapat menggalakkan ibu bapa agar menghantar anak masing-masing ke sekolah kebangsaan untuk memantapkan penguasaan bahasa dan seterusnya mewujudkan integrasi antara murid daripada pelbagai kaum. Di dalam dunia pekerjaan dan dunia sosial, kemahiran berbahasa menentukan kejayaan seseorang. Sekeping ijazah tidak bernilai tanpa kecekapan berbahasa. Profesion perguruan berperanan mengajar bahasa khususnya aspek sebutan dan ejaan yang saling berkait dengan betul. Aspek kesantunan berbahasa harus diterapkan. Amalan dan nilai budi bahasa perlu dikekalkan walaupun terdapat pengaruh barat. Yang merah itu saga, Yang kurik itu kendi; Yang indah itu bahasa, Yang elok itu budi Orang berbudi, kita berbahasa, Orang memberi, kita merasa. Corak pembelajaran ilmu sebagai proses menghafal untuk mengambil peperiksaan perlu diubah. Sebaliknya dilaksanakan sebagai proses memahami apa yang dipelajari. Seseorang yang faham dalam bahasa akan dapat menggunakan bahasa dengan baik, tersusun dan lengkap. Pelajar khususnya diberi peluang mengungkap ilmu yang diterima dan menggunakan bahasa sebagai saluran pernyataan buah fikiran dan ilmu pengetahuan melalui proses pengajaran dan pembelajaran. Pihak media massa dan dunia pengiklanan harus lebih prihatin dan memberi penekanan kepada penggunaan bahasa Melayu yang betul. Pakar-pakar sosiobudaya pula perlu membuat kajian menstandardisasikan aspek budaya selaras dengan perkembangan bahasa Melayu atau bahasa Malaysia sekarang. Ungkapan “bahasa jiwa bangsa” dan “bahasa menunjukkan bangsa”, menunjukkan hubungan erat di antara bahasa dengan kebudayaan dan tingkah laku bangsa Malaysia. Kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi dan bahasa ilmu tidak perlu diragui. Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Persatuan Penulis Nasional pada bila-bila masa pasti boleh diminta pandangan tentang sesuatu isu bahasa. GAPENA pernah mengeluarkan penyataan cadangan agar bahasa Melayu wajib diambil oleh pelajar sebagai syarat memasuki institusi pengajian tinggi awam. Sebagaimana syarat yang ditetapkan untuk bahasa Inggeris melalui Malaysian University English Test. Sebagai rakyat, kita seharusnya menyokong usaha pejuang bahasa untuk mempertahankan kedaulatan bahasa. Kesalahan bahasa dapat dikurangkan dan dihapuskan jika mendapat kerjasama semua pihak. Perancang bahasa perlu memperbaiki atau merancang unsur-unsur bahasa untuk meningkatkan keefisienan, mengurangkan sebarang perbezaan yang menghalang fungsi bahasa sebagai bahasa kebangsaan . Sistem ejaan perlu diperbaiki dan menstandardkan sebutan kata-kata pinjaman. Proses penciptaan istilah oleh Dewan Bahasa dan Pustaka harus diteruskan untuk membolehkan pengungkapan konsep-konsep teknikal dan sains dilakukan. Usaha DBP amat jelas dengan penghasilan buku panduan tatabahasa seperti buku Tatabahasa Dewan. Penghasilan buku ini diharap dapat membantu memperbaiki penggunaan tatabahasa di kalangan pengguna bahasa Melayu. DBP juga melakukan penyelaras bentuk ejaan melalui sidang yang dianggotai oleh negara seperti Indonesia dan Brunei. Kesalahan penggunaan bahasa sebenarnya hanya akan selesai jika masyarakat dapat menerima hakikat bahasa Melayu adalah bahasa Malaysia iaitu bahasa kepunyaan semua warganegara yang menjadi cerminan bangsa Malaysia. Tanpa keinginan dan kesungguhan yang luhur selari dengan dasar perlembagaan segala usaha tidak akan berhasil. KESIMPULAN Hasil perbincangan dapat dirumuskan bahawa kesalahan bahasa di kalangan bangsa Malaysia memang tidak dapat disangkal. Semua rakyat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama harus menerima hakikat kesilapan bahasa berlaku kerana kesilapan bangsa Malaysia sendiri yang kurang menghargai dan menghayati konsep satu bangsa satu bahasa. Kesalahan bahasa tidak sepatutnya berlaku kerana bahasa Melayu telah dimartabatkan sebagai bahasa Kebangsaan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1968, Akta Pelajaran 1961 dan 1996. Semua bangsa Malaysia sepatutnya perlu mempelajari, menguasai dan menggunakan bahasa Melayu dengan lancar dan betul jika mereka benar-benar bangsa Malaysia. Langkah kerajaan mendaulatkan bahasa Melayu diharap dapat memastikan bahasa Melayu digunakan secara meluas oleh bangsa Malaysiaseterusnya dapat mengurangkan kesalahan bahasa dalam pertuturan dan penulisan. Antara langkah yang diambil termasuklah: I. Mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam segala bentuk urusan rasmi. II. Mewajibkan bahasa Melayu dijadikan bahasa Penghantar di semua sekolah kebangsaan dan institusi pengajian tinggi awam. III. Menyeru pihak swasta menggunakan bahasa Melayu sewaktu berurusan dengan pelanggan. Selain itu, sebarang borang bahasa Inggeris disertakan terjemahan bahasa Melayu. IV. Iklan perniagaan mesti menggunakan bahasa kebangsaan. V. Para pemimpin kerajaan pelbagai kaum diwajibkan menyampaikan ucapan dalam bahasa Kebangsaan dalam majlis yang melibatkan warga tempatan. Kegemilangan bahasa Melayu mesti dikembalikan seperti kedudukan bahasa Melayu zaman lampau, seperti yang pernah diterangkan oleh William Marsdern. Menurutnya, “bahasa Melayu yang dianggap berasal dari semenanjung Tanah Melayu telah berkembang melalui kepulauan-kepulauan timur dan menjadi lingua franca di dunia bahagian tersebut, dituturkan di mana-mana di sepanjang pantai Sumatera dan digunakan tanpa campuran apa-apa di negara kepulauan Minangkabau dan tanah jajahannya dan difahami ke setiap bahagian pulau”. Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk hanya dapat disatukan melalui bahasa. Hasrat ini tercatat dalam Perlembagaan. Yang menjadi penghalang dan menimbulkan masalah kesalahan penggunaan bahasa hanyalah sikap masyarakat yang mengetepikan bahasa Melayu. Segala usaha telah dilakukan untuk mengurangkan kesalahan penggunaan bahasa. Faktor yang menjadi penyebab kesalahan bahasa seperti faktor dialek, faktor media, faktor bahasa slanga dan faktor kurang pemahaman dapat diatasi jika seseorang itu berusaha untuk mengubahnya. Langkah mengatasi masalah kesalahan bahasa hanya dendangan kosong jika bangsa Malaysia tidak mengakui bahasa Melayu sebagai bahasa sendiri. Malah usaha mengangkat bahasa Melayu melalui Hari Pejuang Bahasa disambut julung-julung kalinya pada 15 Februari 2010 bertukar menjadi medan melontarkan kritikan pedas kepada golongan yang menganggap bahasa Melayu adalah bahasa kolot yang menyekat pembangunan. Kritikan daripada ahli panel seperti Datuk Dr Hassan Ahmad, Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan dan Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah di Dewan Bahasa dan Pustaka membuktikan ramai bangsa Malaysia tidak menghargai bahasa sendiri iaitu bahasa Melayu.

Monday, 12 November 2012

KATA NAMA

Perkataan NAMA terbahagi kepada dua bahagian yang besar iaitu NAMA BETUL dan GANTINAMA
dan satu lagi dipanggil NAMA TERBITAN.
a) Kata Nama Am ( Betul atau Biasa )
b) Kata Nama Khas
c) Kata Ganti Nama
d) Kata Nama Terbitan
e) Kata bilangan
Nama Betul
1. Nama betul dibahagi kepada dua jenis iaitu Nama Am dan Nama Khas.
Nama Am
2. Kata Nama Am ialah kata yang digunakan untuk menjelaskan nama sesuatu yang bernyawa seperti orang, haiwan, dan sesutu yang tidak bernyawa seperti tumbuh-tumbuhan, tempat , benda, dan sebagainya.
Dengan kata lain perkataan Nama Am digunakan bagi menyebut sesuatu secara am atau umum.
Manusia , orang
ayah, perempuan, kerani, polis, guru, doktor, askar dll
binatang
ayam, gajah, kerbau anjing, kuda, burung, ikan dll
tumbuh- tumbuhan
pokok, betik, rumput, lalang dll
benda
pasir, kayak, radio, rumah. Motorkar, pen, buku, dll
tempat
pejabat, pulau, sekolah, kampung, bandar, negeri dll
3. Kata nama am dapat dibahagikan kepada kata nama yang:
(a) konkrit, iaitu nama sesuatu yang dapat dipegang, atau dapat dirasa, atau dapat dilihat
(b) abstrak, iaitu nama sesuatu yang hanya dapat dibayangkan atau dikhayalkan.
4. Kata nama am konkrit dan abstrak boleh terdiri daripada kata asal dan kata nama terbitan.
5. Berikut adalah beberapa contoh kata nama terbitan:
buai - buaian
tua - ketua
raja - kerajaan
tahu - pengetahuan
Kata nama am hendaklah ditulis dengan menggunakan huruf kecil melainkan pada awal ayat.
Contoh:
Dia sedang menjinakkan seekor gajah.
Pada akhir ayat
Gajah itu berbadan besar.
Pada awal ayat
 
Kata Nama Khas
1. Kata nama khas ialah kata nama yang secara khususnya digunakan untuk menyebut nama sesuatu benda sama ada benda yang bernyawa dan yang tidak bernyawa.
2. Benda-benda yang bernyawa ialah nama manusia dan nama binatang.
Benda-benda yang tidak bernyawa ialah nama tempat, judul buku, nama bangunan, dan sebagainya.
Perkataan Nama Khas digunakan bagi menyebut sesuatu yang tertentu, khusus atau khas.
a)    benda; misalnya : Seri Aman, Volvo, Parker 45, Hikayat Hang Tuah, dll
b)    orang; misalnya : Cik Rafidah, Inspektor Azman, Dr. Long dll
c)     binatang ; misalnya : Blacky, Pak Belang, Sang Kancil,dll
d)    tempat ; misalnya : Kampung Bahru, Shah Alam, Kuala Lumpur dll
Biasanya huruf pertama perkataan nama khas ini hendaklah ditulis dengan huruf besar.
manusia
Zaidi, Mei Fong,
Subramaniam
binatang
Tompok (kucing),
Jalak (ayam)
tempat
Muar (daerah),
Seremban (bandar),
Jepun (negara)
bangunan
Pudu Raya (perhentian bas dan teksi), 
Menara Tun Razak (pejabat)
judul buku
Keluarga (majalah),
Rentong (novel),
Kamus Dewan ( buku)
benda
Proton Perdana
(kereta), Pilot
(pen), Seiko (jam)
Perbandingan Kata Nama Am dan Kata Nama Khas
Kegunaan
Kata Nama Am
Kata Nama Khas
Benda
bangunan
kereta
buku
sekolah
Bangunan Tabung Haji
Proton Saga
Bahasa Melayu
S.K. Darau
Orang
doktor
kerani
guru
budak lelaki
Doktor Efendi
Puan Zainun
Cikgu Azmi
Muhamad Fauzi
Binatang
kucing
lembu
katak
ayam
burung
Si Tompok
Lembu Sapi
Katak Puru
Ayam Belanda
Burung Murai
Tempat
negeri
bandar
kampung
tasek
Terengganu
Jerteh
Kampung Pasir Akar
Tasek Perdana
Tumbuhan
pisang
cili
jambu
limau
Pisang Emas
Cili Padi
Jambu Batu
Limau Kasturi
Kata nama Terbitan
Kata nama Terbitan wujud apabila kata nama am diberi imbuhan.
Imbuhan yang membentuk kata nama terbitan boleh diletakkan :
          di awal kata ( awalan )
          di akhir kata ( akhiran )
          di awal dan di akhir kata ( apitan )
Sila teliti contoh-contoh imbuhan  :
di awal kata
pe- , pem-, pen-, peng-, penge-, per-, dan ke-
di akhir kata
-ita, -man, -wati, -an, dan -wan
di awal dan di akhir kata
per- -an, penge- -an, peng- -an, pen- -an, pem- -an, pe- -an, dan ke- -an
Kata dasar yang diberi imbuhan untuk dijadikan kata nama terbitan terdiri daripada beberapa kelas iaitu :-
kelas kata
kata dasar
kata terbitan
kata kerja
peraga
latih
bawa
lawan
peragawati
latihan
pembawaan
perlawanan
kata sendi
oleh
untuk
perolehan
peruntukan
kata nama
lombong
rumah
guru
perlonbongan
perumahan
perguruan
kata adjektif
cantik
besar
tinggi
kecantikan
pembesar
ketinggian
Senario : Adik-adik

Mari oh adik-adik mari belajar
Kalau rajin usaha tentu berjaya
Buku yang adik ada baca sama-sama
Ibu bapa tersenyum gembira.

Janganlah adik leka di masa muda
Bila dah besar nanti akan kecewa
Kawan-kawan berjaya adik tak ke mana
Ibu bapa merasa kecewa.

Kita tulis oh ya ya ya
Kita baca oh ya ya ya
Cikgu ajar kita dengar sama-sama
Jangan tidur oh ya ya ya
Harus sedia oh ya ya ya
Baru betul kalau kita nak berjaya

Ada masa gembira tapi jangan lupa
Bila tiba waktunya lakukan segera
Bukan saja dunia di akhirat juga
Jangan sampai kita semua lupa

Ingatlah kawan-kawan semua pesanan
Jadikanlah panduan juga tauladan
Untuk kita gunakan di masa hadapan
Agar hidup kita kan sempurna.

So Do Mi Re A B C D
So Re Fa Mi D E F G
Cikgu ajar kita dengar sama-sama
Cuba bilang satu dua tiga empat lima enam
Siapa cepat sudah tentu dia dapat

Ingatlah kawan-kawan semua pesanan
Jadikanlah panduan juga tauladan
Untuk kita gunakan di masa hadapan
Agar hidup kita kan sempurna.

Kita tulis oh ya ya ya
Kita baca oh ya ya ya
Cikgu ajar kita dengar sama-sama
Ibu bapa pasti akan rasa gembira
Jikalau kita semua Berjaya
Hoorey!

Monday, 15 October 2012

~ Koleksi Puisi Klasik Dan Moden Yang Segar Sepanjang Zaman ~

Angin teluk menyisir pantai 
    Hanyut rumpai di bawah titi
Biarlah buruk kain dipakai 
    Asal pandai mengambil hati

Pergi mendaki Gunung Daik             
   Hendak menjerat kancil dan rusa         
Bergotong-royong amalan yang baik
   Elok diamalkan setiap masa

Air melurut ke tepian mandi
    Kembang berseri bunga senduduk
Elok diturut resmi padi                 
   Semakin berisi semakin tunduk

Daun sirih ulam Cik Da     
    Makan sekapur lalu mati
Walaupun banyak ilmu di dada
    Biar merunduk resmi padi

Buah pelaga makan dikikir 
    Dibawa orang dari hulu 
Sebarang kerja hendak difikir         
   Supaya jangan mendapat malu